Unai Emery tidak mahu menuding jari ke arah pengadil, Michael Oliver, selepas memberikan Liverpool dua sepakan penalti ketika Arsenal tewas 5-1, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Emery itu gagal menyaingi persembahan cemerlang Liverpool di Anfield tatkala Roberto Firmino menyumbat tiga jaringan sambil Sadio Mane dan Mohamed Salah masing-masing meraih satu gol.

Namun, dua daripada lima gol itu hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Salah dan Firmino tatkala ia mengundang kontroversi.

Sepakan penalti pertama diraih Salah apabila dia tampak dijatuhkan oleh Sokratis Papastathopoulos sebelum penalti kedua diberikan kepada tuan rumah apabila Sead Kolosinac menyiku Dejan Lovren.

Emery sedar dia tidak boleh menyalahkan pengadil tetapi berpendapat Video Bantuan Pengadil (VAR) mungkin akan membantu pasukannya.

"Dua gol terakhir serta dua sepakan penalti, saya rasa ia memberi kesan besar kepada kami," kata Emery.

"Saya rasa VAR sangat penting. Ia akan digunakan musim depan dan saya rasa ia akan membantu pengadil membuat keputusan lebih baik.

"Keputusan itu jelas. Ia bukan disebabkan pengadil. Terdapat beberapa perkara positif di atas padang seperti Ainsley Maitland-Niles beraksi selaku pemain sayap dan menjaringkan gol.

"Alex Iwobi juga beraksi dengan baik selepas tidak bermain dalam tempoh yang lama. Dia beraksi 90 minit dengan aksi cemerlang tetapi kami harus lebih baik di bahagian benteng.

"Pertahanan kami perlu lebih kukuh dan kami memerlukan keseimbangan. Kami perlu kekal seimbang di tengah.

"Kami tewas 5-1, jadi perlu mengekalkan keseimbangan di tengah, lebih serius dan meneruskan aksi seterusnya di Emirates dengan lebih bagus.

"Kami perlu menunjukkan kepada peminat bahawa kami mahu bangkit selepas keputusan ini," katanya lagi.