Pengendali Arsenal, Unai Emery, mahu Alex Iwobi, meneruskan usaha yang ditampilkan selepas mempamerkan peningkatan sejak Arsene Wenger meletak jawatan.

Penyerang berusia 22 tahun itu merupakan antara pemain utama skuad bimbingan Wenger sebelum pengendali kelahiran Perancis meletakkan jawatan pada penghujung musim lalu.

Walaupun memiliki kepantasan serta bijak mengatasi pertahanan lawan, Iwobi sering memberikan kekecewaan kepada penyokong The Gunners kerana gagal melakukan hantaran kemas.

Tetapi, sejak Emery mengambil alih musim ini, Iwobi telah melakukan lima bantuan jaringan dalam semua kejohanan -- termasuk hantaran jaringan penyamaan Alexandre Lacazette ketika Arsenal seri 1-1 dengan Liverpool kelmarin -- dan juruatih itu mahu dia meningkatkan lagi usaha yang dipamerkan.

"Iwobi mampu memberikan impak dalam perlawanan," kata Emery. "Bermula beraksi di bahagian kanan, kemudian berpindah ke sebelah kiri, impak yang dipamerkannya sangat penting untuk pasukan.

"Dia mampu meningkatkan lagi persembahannya. Dia telah menjaringkan gol berdepan Chelsea, saya mahu Iwobi menggunakan peluang untuk mencipta lebih banyak jaringan."