Emery mahu Aubameyang teruskan sentuhan gol

Oleh Penulis Jemputan 5 Disember 2018 332
Emery mahu Aubameyang teruskan sentuhan gol
Pengendali Arsenal, Unai Emery, mencabar Pierre-Emerick Aubameyang untuk terus mara dan menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini.

Aubameyang kini menduduki tangga teratas senarai penjaring liga setelah menyumbat dua gol sewaktu membantu The Gunners menundukkan Tottenham Hotspur 4-2 hujung minggu lalu, meningkatkan jumlah jaringannya kepada 10 gol.

Situasi itu membuatkan Emery mahu bekas penggempur Borussia Dortmund itu terus mengekalkan prestasi sambil berpendapat Aubameyang masih mampu meningkat.

"Saya mahu dia terus meningkat dan mencabarnya secara kolektif dan individu," kata Emery menjelang pertemuan menentang Manchester United, awal pagi esok.

"Saya mahu mencabarnya setelah melihat dia berpeluang untuk menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris.

"Kami mahu membantunya mencapai kejayaan itu kerana jika dia menjaringkan gol, dia telah menolong pasukan.

"Dalam dua aksi terakhir, dia mempamerkan aksi hebat, bekerja keras dan menjaringkan gol. Saya mahu berkata kepadanya, 'Usah berhenti, teruskan persembahan ini.'

"Ia juga penting kerana memberikan Aubameyang keyakinan daripada satu perlawanan ke aksi yang lain. Kini, dia tidak boleh berhenti."

Aubameyang tampil dalam kesemua 14 perlawanan liga musim ini, namun dua kali bermula dari bangku simpanan.

Pemain berusia 29 tahun itu sering beraksi di luar posisi kegemarannya, penyerang tengah, tatkala Emery cenderung meletakkan ALexandre Lacazette sebagai taruhan utama serangan The Gunners tetapi pengendali dari Sepanyol itu percaya kemampuan serba boleh Aubameyang menjadi aset pasukan.

"Dalam karier, Aubameyang telah beraksi selaku pemain sayap kiri dan kanan serta penggempur, termasuk penyerang berkembar," tambah Emery.

"Saya menggunakannya dalam semua posisi dan kadangkala prestasi terbaiknya muncul melalui kesebelasan utama atau 20 minit terakhir."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen