Unai Emery menegaskan beliau gembira dengan sikap Angel Di Maria setelah merehatkan pemain sayap Argentina itu selepas 70 minit ketika Paris Saint-Germain meraih kemenangan 2-0 ke atas Troyes.

Di Maria kelihatan tidak gembira dalam sesi pemanas badan perlawanan PSG sebelum ini, ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas juara Ligue 1, Monaco, apabila disenaraikan sebagai pemain gantian.

Bekas bintang Manchester United itu kembali dalam kesebelasan utama Emery ketika menerima kunjungan Troyes semalam tetapi perlawanan kekal tanpa jaringan hingga dia digantikan dengan Kylian Mbappe dan tuan rumah menghasilkan gol menerusi Neymar dan Edinson Cavani.

Emery mengakui Di Maria tidak berada pada tahap terbaik tetapi menawarkan jaminan pemain berusia 29 tahun itu masih lagi memberikan komitmen penuh kepada pasukan.

"Saya sangat gembira dengan pemain-pemain saya. Perkara yang paling penting adalah keinginan mereka di atas padang," kata Emery.

"Di Maria bekerja keras setiap hari untuk pasukan. Dia melalui waktu sukar ketika ini, dan kami perlu terus memberikan keyakinan kepadanya.

"Saya telah bercakap dengannya semalam. Dia memulakan perlawanan ini dengan penuh keinginan dan motivasi yang tinggi. Bagaimanapun, dia tidak berjaya menghasilkan sesuatu dalam perlawanan ini," ujarnya.

PSG bergelut untuk memecah kebuntuan ketika bertemu Troyes, yang hampir mendahului permainan 1-0 pada minit ke-35 selepas jaringan Stephane Darbion dibatalkan kerana ofsaid.

Cavani turut gagal menyempurnakan sepakan penalti tetapi dua gol pada 17 minit terakhir mengubah keputusan perlawanan.