Unai Emery kecewa kerana ditekan untuk membincangkan mengenai masa depan Mesut Ozil selepas membuat keputusan untuk mengetepikan pemain perancang itu ketika berdepan Vitoria SC.

Ozil hanya tampil beraksi dua kali untuk The Gunners musim ini ketika berdepan Watford dan Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala EFL.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu masih lagi tidak tersenarai dalam skuad Liga Europa (UEL) awal pagi tadi dan Emery masih mengetepikan Ozil daripada skuad utama.

Tetapi apabila ditanya mengenai masa depan Ozil berikutan kemenangan Arsenal 3-2 ke atas Vitoria, Emery pantas menepis soalan tersebut.

"Saya berasakan ini bukanlah masa untuk bercakap mengenai masa depan Ozil," kata Emery.

"Saya lebih berminat untuk bercakap tentang perlawanan dan pemain-pemain yang beraksi.

"Dia tidak tersenarai dalam pasukan dan itu adalah keputusannya, Ozil akan kembali beraksi Ahad ini (berdepan Crystal Palace)."

Pepe mencetus impak dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Emirates itu apabila meledak dua gol untuk memastikan kemenangan The Gunners, dan Emery percaya Arsenal bakal disajikan dengan aksi yang lebih menarik daripada bekas bintang Lille itu.

"Selalunya pemain baru memerlukan masa dan Pepe merupakan seorang pemain berkualiti. Kami mempercayai kemampuannya.

"Dia masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri dengan pasukan dan lebih segera dia melakukannya, lebih baik untuk pasukan."

Kemenangan Arsenal menyaksikan mereka memperoleh mata maksimum untuk menghuni tangga teratas Kumpulan F sementara di tangga kelima bagi saingan EPL ekoran kekalahan kepada Sheffield United, Isnin lalu.