Pengurus Arsenal, Unai Emery, mencadangkan agar pemain tengahnya, Matteo Guendouzi, memotong rambut selepas ditarik oleh tonggak Manchester United, Marouane Fellaini, dalam aksi kedua-dua pasukan di Old Trafford, Rabu lalu.

Pemain gantian United, Fellaini, terpaksa menggunakan cara kasar untuk menyekat lawannya dalam aksi yang berakhir dengan keputusan 2-2 itu, menarik rambut pemain dari Perancis itu dari belakang dalam babak kedua.

Pengadil perlawanan, Andre Marriner, menyaksikan insiden itu tetapi tidak melayangkan kad buat pemain Belgium tersebut, sekali gus tidak akan berdepan sebarang tindakan susulan.

Emery tampak gembira untuk melupakan situasi itu sambil berjenaka bahawa anak buahnya patut mengikut jejak langkah Fellaini yang baru memotong rambut.

"Saya rasa perkara terbaik dalam aksi seterusnya buat Guendouzi adalah memotong rambut dan segala masalahnya akan selesai, sama seperti Fellaini!" kata Emery.

"Ia perkara sama sewaktu saya bergelar pemain. Hari ini, di depan kamera, semua situasi sepanjang 90 minit boleh dilihat.

"Bagi saya, sesetengah persoalan hanya wujud dalam kalangan pemain di atas padang. Jika ia bukan tindakan yang tepat, mereka boleh dikenakan kad. Di atas padang, situasi itu berlaku," katanya.

Sementara itu, Emery menjangkakan ujian getir menanti The Gunners -- yang kini mengharungi 20 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan -- menjelang pertemuan dengan Huddersfield Town di Emirates esok.

Dia turut meminta penyokong Arsenal untuk terus memberikan sokongan selepas memberikan inspirasi sewaktu mempamerkan kebangkitan menundukkan Tottenham Hotspur 4-2, Ahad lalu.

"Mereka adalah pasukan yang tersusun. Walaupun tewas di tangan Bournemouth sebelum ini, mereka bermain dengan baik," tambah Emery.

"Mereka menang ke atas Wolverhampton Wanderers di tempat lawan. Semua pasukan dalam Liga Perdana Inggeris memiliki pemain dan susunan yang bagus.

"Kami memerlukan semangat sama seperti minggu lalu. Semua penyokong perlu terus memberikan sokongan seperti ketika berdepan Spurs. Aksi seri ketika menentang United perlu disusuli dengan kemenangan ke atas Huddersfield."