Unai Emery bersedia menyenaraikan semula Mesut Ozil dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Wolves di laman sendiri malam ini.

Ozil mencuri tumpuan ketika The Gunners mengikat Liverpool 5-5 sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti dalam Piala Liga Inggeris (EFL) di Anfield awal pagi kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan Jerman berusia 31 tahun itu jarang mendapat peluang musim ini dengan hanya melakukan tiga penampilan dalam kesemua kejohanan selepas dilihat sebagai bukan pilihan utama di mata Emery.

Namun, dengan prestasi terbaru dan perubahan sikap yang dipamerkannya, pengurus berbangsa Sepanyol itu berkata Ozil semakin hampir untuk tersenarai dalam kesebelasan utamanya.

"Dia berada dalam skuad dan saya fikir terdapat kemungkinan untuk dia diturunkan," kata Emery kepada wartawan.

"Saya sudah berbincang dengannya Selasa lalu dan memaklumkannya mengenai perancangan saya bersamanya.

"Apabila dia cergas, berlatih dengan baik, tekal dan positif, dia akan banyak membantu kami.

"Sekarang, saya dapat lihat dia lebih tekal dan positif.

"Berdasarkan persembahannya ketika menentang Liverpool, saya fikir inilah yang dimahukannya.

"Saya sedang membantunya, menyokongnya, mahukan sesuatu daripadanya dan inilah Mesut yang saya fikir semua orang mahukan.

"Dia berpengalaman luas.

"Apabila anda bercakap mengenai pemain yang boleh menangani tekanan, dia adalah Mesut Ozil," katanya.

Ozil mungkin menggantikan Granit Xhaka selepas Emery mengesahkan kapten Arsenal itu tidak akan diturunkan malam ini.