Emery belum mahu fikirkan kejuaraan

Oleh Penulis Jemputan 23 Oktober 2018 200
Emery belum mahu fikirkan kejuaraan
Pengendali Arsenal, Unai Emery, enggan mengambil hirau cakap-cakap yang mengatakan pasukannya kini salah satu pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas The Gunners meraih tujuh kemenangan berturut-turut untuk melonjak ke tangga keempat liga.

Hector Bellerin terjaring gol ke gawang sendiri dalam kemenangan 3-1 pasukan itu ke atas Leicester City di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Perlawanan tersebut turut menyaksikan aksi hampir sempurna disajikan bintang mereka, Mesut Ozil.

Ozil bertukar-tukar hantaran dengan Bellerin sebelum menyamakan kedudukan buat Arsenal sebelum tamat babak pertama.

Dia kemudian menjadi pencetus kepada dua jaringan pantas Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-63 dan 66.

Kemenangan ke-10 berturut-turut dalam kesemua kejohanan itu mula memperlihatkan Arsenal sebagai pencabar utama kejuaraan liga dengan mereka kini hanya dipisahkan dua mata dengan pendahulu, Manchester City dan Liverpool.

Emery, bagaimanapun, enggan terbawa-bawa dengan kejayaan itu apabila ditanya tentang perebutan kejuaraan liga yang menyaksikan mereka kini melalui rekod kemenangan terpanjang sejak 2007.

"Kami perlu bertenang," kata Emery sewaktu sidang media.

"Menewaskan Leicester adalah penting buat kami memandangkan kedudukan mereka yang terlalu hampir dalam carta liga.

"Kami juga bersedia bertemu pasukan yang berkedudukan lebih baik daripada kami seperti Liverpool, Manchester City dan Chelsea.

"Kami mengawal permainan dan mencari peluang jaringan. 30 minit pertama merupakan waktu sukar buat kami."

Ozil menerima tepukan gemuruh selepas perlawanan dan perkara itu termasuk dalam penilaian Emery untuk menjadikannya salah seorang kapten pasukan.

"Ia sangat penting," kata Emery berkenaan sikap kepimpinan yang dimiliki Ozil.

"Kami mempunyai ramai pemain yang memiliki kapasiti seperti itu.

"kKami mempunyai beberapa kapten. Dia boleh meneruskan peranan itu dalam semua perlawanan dengan atau tanpa lilitan di lengan," tambah Emery.

Nacho Monreal, Sokratis Papastathopoulos dan Sead Kolasinac terlepas aksi kemenangan menentang Leicester yang menyaksikan Stephan Lichtsteiner mengisi posisi bek kiri dan pemain baru, Zech Medley, berada di bangku simpanan buat kali pertama.

Pemain tengah, Granit Xhaka, kemudian beralih ke posisi bek kiri setelah pertukaran berganda dilakukan Emery yang memasukkan Aubameyang dan Matteo Guendouzi untuk menggantikan Lichtsteiner dan Henrikh Mkhitaryan.

Tumpuan Arsenal selepas ini beralih kepada aksi berdepan Sporting CP dalam saingan Liga Europa, Khamis ini.

"Aksi pada Ahad lepas benar-benar menguji ketahanan kami.

"Sead dan Nacho, mereka tidak dapat diturunkan hari ini.

"Saya harap mereka dapat diturunkan menentang Sporting.

"Buat Sokkratis, dia boleh berehat Khamis ini.

"Dengan kepadatan jadual perlawanan kami, adalah sangat penting untuk mereka berehat," tambah Emery.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen