ARSENAL 1 LIVERPOOL 1

Unai Emery tidak membenarkan dirinya berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Liverpool kerana berasakan Arsenal berhak menang dalam perlawanan itu.


The Gunners kelihatan seperti hampir mengakhiri perlawanan tanpa sebarang mata berdepan skuad kendalian Jurgen Klopp itu, yang mendahului perlawanan menerusi jaringan James Milner dalam separuh masa kedua.

Tetapi Alexandre Lacazette bertindak sebagai penyelamat The Gunners apabila meledak gol kelima dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika perlawanan berbaki lapan minit.

"Kami mahu memenangi perlawanan tetapi kami berdepan lawan yang sukar," kata Emery.

"Bagi kami, ia merupakan persembahan yang baik. Kami telah berusaha secara teknikal dan taktikal dalam perlawanan ini.

"Penyokong telah menjadi sumber tenaga kami tetapi saya hanya tidak berpuas hati sepenuhnya untuk perlawanan ini," ujarnya.

Keputusan seri menyaksikan Arsenal kini tidak tewas dalam 14 perlawanan berturut-turut selepas mengalami kekalahan kepada Manchester City dan Chelsea pada permulaan musim.

"Setiap perlawanan adalah ujian untuk kami. Arsenal akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu permainan dan kami berjaya mengelak daripada kehilangan mata."