EFL: Ancelotti seru Everton buru pertahanan baru 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 September 2020 300
EFL: Ancelotti seru Everton buru pertahanan baru 
EVERTON 3 SALFORD 0 

Pengurus Everton, Carlo Ancelotti, bercadang mendapatkan seorang pertahanan tengah baru selepas Jarrad Branthwaite ditimpa kecederaan pergelangan kaki dalam kemenangan 3-0 Piala Liga Inggeris (EFL) ke atas Salford City, awal pagi tadi. 


Pemain berusia 18 tahun itu terpaksa digantikan pada minit ke-24 dalam pusingan kedua EFL sambil gandingannya di bahagian benteng, Mason Holgate, juga tercedera, lantas meninggalkan pengurus dari Itali berkenaan dengan dua pilihan, Yerry Mina dan Michael Keane, sebagai tunjang di pusat pertahanan. 

Gol daripada Keane, Gylfi Sigurdsson dan Moise Kean menyaksikan mereka menempah tiket ke pusingan ketiga ke Fleetwood Town tetapi krisis kecederaan mula menghimpit The Toffees.

"Holgate sudah pun tersisih sementara Jarrad pula kami belum tahu tahap kecederaannya jadi kami perlu menilainya," kata bekas pengendali AC Milan dan Real Madrid itu kepada wartawan.

"Ada kemungkinan kami perlu mendapatkan pertahanan tengah dan saya rasa kami harus melakukannya.

"Perkembangan terkini Holgate mengesahkan bahawa dia tidak memerlukan pembedahan, jadi dia mungkin sempat pulih dengan lebih awal tetapi saya fikir kami akan berjaya mengharunginya sementara menantikan Mason kembali cergas agar ketiga-tiga tonggak pertahanan kami tidak berdepan masalah," tambahnya.

Laporan mengatakan Everton menyasarkan untuk meminjam pemain Chelsea, Fikayo Tomori, sebelum jendela perpindahan ditutup pada 5 Oktober depan. 

Kelab Merseyside itu, yang mengalahkan Tottenham 1-0 ketika membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu, akan menjadi tuan rumah kepada West Bromwich Albion, Sabtu ini. 

Keputusan lain: 

IPSWICH TOWN 0 FULHAM 1 
SOUTHAMPTON 0 BRENTFORD 2 
LEEDS UNITED 1 HULL CITY 1 (Leeds mara dengan penentuan sepakan penalti 9-8)
BRISTOL CITY 4 NORTHAMPTON TOWN 0 


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen