Mohamed Salah dan Mohamed Elneny sekali lagi diuji positif COVID-19, demikian disahkan Persatuan Bolasepan Mesir (EFA).

Penyerang Liverpool, Salah, menunjukkan gejala jangkitan Jumaat lalu dan menerima kritikan kerana menghadiri majlis perkahwinan adiknya awal minggu itu.

Ejen kepada Elneny kemudian mendedahkan Isnin lalu bahawa pemain tengah Arsenal itu turut dijangkiti virus berkenaan.

Dua hari selepas itu, EFA mengesahkan kedua-dua pemain itu masih positif COVID-19 dalam ujian saringan yang dilakukan.

"Pada hari ini, Mohamed Salah, bintang skuad kebangsaan dan kelab Inggeris, Liverpool, telah melakukan ujian swab baru untuk mengesan virus COVID-19 tetapi keputusannya adalah positif," kata EFA dalam satu kenyataan.

"Dan Mohamed Elneny, bintang skuad kebangsaan dan Arsenal, turut menjalani ujian swab kedua, yang mengesahkan keputusan positif."

Dengan itu, kedua-dua pemain berkenaan tidak dapat mewakili kelab masing-masing dalam masa terdekat.

Di United Kingdom, mana-mana individu yang diuji positif koronavirus perlu menjalani pengasingan kendiri selama 10 hari dan berpotensi berlanjutan sehingga dua minggu.

Liverpool dan Arsenal, masing-masing akan bertemu Leicester City dan Leeds United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.