EVERTON 0 BURNLEY 1

Sean Dyche menyatakan kebolehan Burnley untuk mengubah taktikal merupakan kunci kemenangan 1-0 ke atas Everton di Goodison Park dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam, sekaligus menyaksikan mereka berada di tangga keenam.


Skuad kendalian Dyche meraih lapan mata selepas beraksi di Stamford Bridge, Wembley, Anfield dan Goodison Park musim ini, meraih dua kemenangan dan dua keputusan seri dalam empat perlawanan dan berjaya melepasi kutipan mata di tempat lawan berbanding musim lalu.

Sering dilihat sebagai pasukan yang kerap melakukan hantaran jauh, Burnley mempamerkan gaya permainan yang lebih menarik musim ini dan gol tunggal daripada Jeff Hendrick memberikan tiga mata kepada Burnley.

Walaupun pasukan tuan rumah mengawal perlawanan pada separuh masa kedua dan merekodkan 23 percubaan berbanding lima yang dilakukan oleh Burnley, Nick Pope yang bertugas sebagai penjaga gol The Clarets memastikan gawang tidak dibolosi buat kali kedua berturut-turut dengan kualiti pertahanan yang dipamerkan oleh James Tarkowski dan Ben Mee.

Dyche percaya keseimbangan berjaya ditemui dalam pasukannya, yang kini tidak tewas dalam lima perlawanan EPL dan ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat pengendali berusia 46 tahun itu.

"Kami perlu menampilkan aksi yang berbeza dan kami telah melakukannya musim ini," kata Dyche.

"Setiap pemain berada pada tahap terbaik, kami berjaya memberikan saingan, berjuang bagi mendapatkan tiga mata.

"Strategi kami berhasil dalam perlawanan, jaringan gol Hendrick merupakan hasil 24 hantaran. Mereka juga berjaya bertahan dengan baik dan menunjukkan keinginan untuk memenangi perlawanan ini," katanya lagi.