BURNLEY 2 WEST HAM UNITED 0

Pengendali Burnley, Sean Dyche, mengakui pengguguran Joe Hart dalam pertemuan dengan West Ham malam tadi merupakan keputusan sukar untuk dilakukannya, namun dia memuji sikap profesional Tom Heaton yang memastikan pasukannya tidak dibolosi dalam perlawanan itu.


The Clarets bolos 41 kali dalam 19 perlawanan liga menjelang aksi di Turf Moor itu.

Dyche melakukan keputusan drastik menggugurkan penjaga gol kebangsaan England itu.

Penjaga gol gantian, Heaton, diturunkan dalam aksi liga buat kali pertama sejak September 2017 dan tidak menunjukkan sebarang kekurangan bagi membantu Burnley meraih kemenangan pertama sejak empat perlawanan lalu.

Mereka kini di tangga ke-18 dan terikat mata yang sama dengan Southampton di kedudukan ke-17.

"Ia keputusan yang sukar untuk menggugurkan Joe.

"Namun, Tom telah menunjukkan sikap profesional yang tinggi dan ia memberikan ganjaran yang baik buat dirinya.

"Apa yang anda perlu tahu adalah Joe merupakan individu pertama yang melompat kegembiraan ketika Tom menyelamatkan kami pada penghujung perlawanan.

"Itu sudah cukup untuk menjawab persoalan yang timbul," katanya.

Burnley menjaringkan dua gol dalam 34 minit pertama perlawanan.

Chris Wood memberikan jaringan awal buat pasukan itu sebelum usaha Dwight McNeil menjadikannya pemain remaja pertama menjaringkan gol buat The Clarets dalam Liga Perdana Inggeris.

"Dia masih muda, namun kami memiliki perancangan yang besar buatnya.

"Agak sukar untuk memberikannya waktu permainan musim ini disebabkan kedudukan kami dalam liga.

"Saya perlu memilih waktu yang sesuai dan ia berjaya.

"West Ham mempunyai jentera serangan yang baik, namun mereka mempunyai kelemahan yang boleh kami manfaatkan.

"McNeill pemain muda yang bijak, mempunyai keupayaan dan kualiti.

"Dia memaparkan aksi itu hari ini.

"Keluarganya perlu berbangga dengan apa yang pemain muda itu lakukan dalam perlawanan ini," katanya lagi.