Pemain Burnley, Jeff Hendrick, percaya Sean Dyche menyimpan cita-cita untuk mengendalikan pasukan di peringkat lebih tinggi tetapi berharap agar pengurus pasukannya itu kekal bersama pasukan.

Dyche menjadi sasaran utama yang dikaitkan dengan jawatan pengendali di Everton selepas Ronald Koeman dipecat walaupun pengurus berusia 46 tahun itu menolak dakwaan tersebut.

Burnley kini menduduki tangga ketujuh liga, berkongsi mata bersama Liverpool, yang membuatkan Hendrick berharap agar Dyche akan memperbaharui kontrak lima tahunnya di Turf Moor.

"Dia sangat hebat untuk kami. Anda tidak akan tahu apakah nasib sesebuah kelab apabila pengurus datang dan pergi.

"Kami sudah biasa dengannya dan bekerja keras setiap hari, menikmati waktu latihan. Itu persekitaran yang telah Dyche cipta," kata Hendrick.

"Bagaimanapun, segala kata putus terletak pada dirinya. Saya pasti dia bercita-cita untuk satu peringkat lebih tinggi.

"Apa yang jelas, kami mahukannya kekal di Burnley, tetapi ia adalah keputusan Dyche," ujarnya.