Penyerang Monaco, Radamel Falcao, percaya dia kembali menjadi pemain yang berkualiti selepas gagal mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain kebangsaan Colombia itu gagal menyerlah ketika beraksi buat Manchester United dan Chelsea, menjaringkan lima gol dalam tempoh dua tahun di England tetapi kembali menemui sentuhan jaringan selepas kembali ke Monaco.

Falcao kini telah meledak 25 gol dalam semua pertandingan bagi membantu skuad kendalian Leonardo Jardim mengungguli Ligue 1 dan pemain berusia 31 tahun itu menyifatkan dua tahun beraksi di England merupakan masa yang penting buat dirinya.

"Anda mempelajari daripada pengalaman, baik dan buruk," kata Falcao.

"Masa saya di England memberikan pengalaman buat saya untuk menjadi pemain yang lebih baik. Saya sentiasa yakin jika saya diberikan masa, saya mampu mencapai tahap terbaik.

"Monaco sentiasa memberikan sokongan kepada saya, mereka menyedari kualiti yang saya miliki."

Aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) di antara Borussia Dortmund dan Monaco telah ditunda kepada esok selepas bas pasukan Jerman itu diserang dengan tiga siri letupan bom.