ASTON VILLA 1 WEST HAM 3

David Moyes percaya Jesse Lingard mampu kembali merebut tempat dalam kem England selepas penampilan pertama yang mengagumkan bersama West Ham, awal pagi tadi.


Lingard, yang menuju ke kelab London itu secara pinjaman daripada Manchester United bulan lalu, membuktikan sentuhannya masih berbisa dengan meledak dua gol dalam kemenangan 3-1 ketika bertandang ke Aston Villa.

Dia muncul pemain kedua yang meledak gol berganda Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kemunculan pertamanya bersama kelab itu selepas Trevor Sinclair melakukannya ketika berdepan Everton pada Januari 1998.

Kali terakhir Lingard mewakili negaranya adalah pada pertengahan 2019 -- kali ke-24 -- tetapi pengurus itu percaya dengan prestasi yang ditampilkan ketika berdepan Villa, dia kini meniti landasan tepat.

"Dia semakin menyesuaikan diri bersama pasukan, begitu juga dengan kami. Kami gembira kerana dia mampu membuat perbezaan untuk pasukan," kata pengurus West Ham itu kepada BT Sport.

"Sekiranya dia mengekalkan prestasi seperti ini termasuk jaringannya, tidak lama lagi dia akan kembali ke pangkuan skuad England. Selama dia terus menyumbangkan gol untuk West Ham, saya akan gembira.

"Ini adalah perlawanan pembukaan yang menarik buatnya, bukan setakat gol malah pada malam ini juga dia membuatkan pasukan dapat memperagakan aksi yang lebih baik."



Lingard menjadi pemain keenam untuk meledak gol buat West Ham dan Manchester United di samping Rio Ferdinand, Teddy Sheringham, Michael Carrick, Carlos Tevez dan Javier Hernandez dalam EPL.

Dia membuat enam percubaan ketika berdepan Villa dan mengatasi rakan sepasukan yang lain dengan 41 hantaran tepat dan 34 daripadanya di kawasan lawan.

West Ham kini melonjak ke tempat kelima menjelang lawatan ke Fulham, awal pagi Ahad ini.