CHELSEA 3 NEWCASTLE 1

Chelsea bangkit daripada ketinggalan untuk merakamkan kemenangan 3-1 ke atas Newcastle United bagi menyamakan kedudukan mata dengan pasukan di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, sebentar tadi.


Penyandang juara itu ketinggalan buat kali keenam dalam penampilan liga, mujur dua gol sumbangan Eden Hazard dan tandukan Alvaro Morata menyelamatkan keadaan.

Antonio Conte pada minggu ini merungut dengan jadual liga yang tidak menyebelahi mereka berikutan Newcastle mempunyai kelebihan 24 jam untuk membuat persiapan bagi menghadapi perlawanan ini.

The Blues pula dilihat masih mencari rentak sebelum Dwight Gayle meletakkan pelawat di depan dalam aksi di Stamford Bridge itu.

Namun, episod ketika kekalahan 4-1 kepada United berulang -- Gayle menjaringkan gol pertama perlawanan -- apabila gol mereka pada minit ke-12 hanya bertahan sembilan minit sebelum Hazard mengikat kedudukan dan tandukan Morata menjadikan kedudukan 2-1 sebelum babak pertama berakhir.

Chelsea berusaha untuk mengukuhkan kedudukan pada babak seterusnya, dengan Hazard mempunyai dua peluang untuk menokok jaringan sebelum bintang Belgium itu memastikan mata penuh tuan rumah menerusi sepakan penalti.

Keputusan itu meletakkan Conte sebaris dengan United -- yang akan berdepan Arsenal -- dengan 32 mata manakala Newcastle kekal di tangga ke-12.