Legenda Chelsea, Didier Drogba, mengesahkan dia mengambil keputusan untuk bersara pada usia 40 tahun.

Bekas penyerang antarabangsa Ivory Coast itu disenaraikan bersama Phoenix Rising bagi saingan Liga Bolasepak Amerika Syarikat (USL) tetapi tidak akan beraksi.

Rising, yang merupakan kelab pemilikan bersama oleh Drogba, tewas di tangan Louisville City dalam aksi Piala USL awal bulan ini.

Sebelum ini, Drogba memberi bayangan bahawa 2018 merupakan tahun akhir buatnya di pentas profesional dan pemenang dua kali Pemain Terbaik Tahunan Afrika itu mengumumkan keputusannya semalam.

"Selepas 20 tahun, saya membuat keputusan untuk menamtkan perjalanan karier," katanya.

"Ia cara terbaik untuk berhenti, membantu beberapa bakat muda untuk berkembang.

"Memberikan sesuatu dalam perlawanan adalah cara terbaik untuk menamatkannya selepas banyak belajar di dalam permainan," tambahnya.

Drogba memenangi empat trofi Liga Perdana Inggeris, empat Piala FA dan tiga Piala Liga ketika bergelar peledak utama The Blues.

Dia menjaringkan sepakan penalti kemenangan dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah 2012 menewaskan Bayern Munich, membolehkan Chelsea meraih kejayaan sulung dalam kejohanan berkenaan.

Drogba juga mara ke final Piala Negara-Negara Afrika dalam dua edisi berturut-turut dan memenangi Liga Super Turki bersama Galatasaray setelah meninggalkan Chelsea pada 2012.