Danny Drinkwater akhirnya mendedahkan kekecewaannya terhadap kecederaan panjang sehingga membuatkannya terpaksa menunggu lama untuk beraksi buat Chelsea.

Pemain tengah England itu tampil buat skuad The Blues ketika membenam Everton 2-1 dalam aksi Piala Carabao pada awal pagi semalam, sekaligus menyaksikan penampilan pertamanya di Stamford Bridge selepas mengalami kecederaan betis ketika berpindah dari Leicester City pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas lalu.

Bagaimanapun, Drinkwater tidak menyembunyikan kelegaannya dapat beraksi untuk perlawanan pertama dan kini bersedia untuk terus beraksi di bawah kendalian Antonio Conte.

“Saya rasa beberapa bulan kebelakangan ini amat teruk,” katanya kepada Chelsea TV.

“Saya telah cuba untuk meletakkan perkara positif kepada diri sendiri. Betis saya kini berasa semakin baik tetapi saya amat kecewa sebelum ini. Penantian untuk beraksi merupakan penyeksaan buat saya.

“Sesuatu yang bagus untuk melihat pasukan beraksi dan ia membantu saya untuk menyesuaikan diri dan memahami gaya permainan pasukan. Lebih cepat saya dapat menyertai pasukan, itu lebih baik,” tambahnya.

Dalam masa sama, kelegaan juga diluahkan Conte selepas melihat bekas pemain skuad muda Manchester United itu akhirnya melakukan penampilan di laman sendiri.

“Saya rasa dia mempunyai banyak ruang untuk dipertingkatkan. Saya lebih suka untuk menurunkannya daripada awal permainan kerana dia perlu beraksi, mencari tempo perlawanan serta rentak buat pasukan.

“Saya tahu ia agak berisiko untuk menurunkannya tetapi dalam masa sama, ia perkara positif buat Drinkwater sambil saya boleh merangka strategi untuk menurunkannya selepas ini.

“Mungkin Drinkwater akan cergas 100 peratus selepas aksi antarabangsa tetapi kami harus bersabar. N’Golo Kante juga sedang melalui proses pemulihan yang sempurna dan ia pastinya berita baik untuk bahagian tengah pasukan,” ujar Conte.