Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, memberi bayangan kewujudan klausa pelepasan dalam kontraknya susulan dikaitkan dengan jawatan di Arsenal walaupun dia kini fokus dengan potensi yang dimiliki The Foxes.

Spekulasi bekas pengendali Liverpool dan Celtic itu mempunyai klausa pelepasan bernilai GBP14 juta (RM75 juta) bertiup kencang setelah Rodgers dilaporkan menjadi pilihan Arsenal susulan pemecatan Unai Emery, Jumaat lalu.

Selepas Leicester menewaskan Everton 2-1 untuk kekal di tangga kedua liga dan lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool, Rodgers ditanya mengenai spekulasi itu.

"Mungkin ada klausa dalam setiap kontrak pengurus. Ia termasuk dalam semua situasi," katanya yang berhijrah ke Leicester, Februari lalu.

"Bagi saya, ketika ini kami meraih kemenangan yang hebat. Fokus saya adalah bersama Leicester kerana saya melakukan perubahan sekitar lapan atau sembilan bulan lalu dan saya sangat gembira sejak datang ke sini.

"Saya rasa dengan pemain yang ada, masih banyak kerja perlu dilakukan. Kebanyakan pengurus mempunyai kontrak yang turut disertakan elemen itu (klausa) tetapi bagi saya, apa yang penting adalah fokus bersama Leicester.

"Saya bernasib baik dalam karier dapat bekerja dengan beberapa kelab hebat. Ia satu cita-cita untuk datang ke sini dan membantu pasukan berada dalam kelompok enam terbaik. Segalanya bagus sejak kami bekerjasama.

"Cita-cita saya mahu membantu kelab ini dan tanggungjawab itu dikongsi bersama yang lain bagi memastikan kelab mara ke depan. Terdapat potensi di Leicester untuk terus berkembang dalam beberapa tahun lagi."