EVERTON 2 WATFORD 2

Lucas Digne menjaringkan gol daripada sepakan percuma menakjubkan dalam waktu kecederaan bagi memastikan Everton mengikat Watford 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, awal pagi tadi.


Pemain kebangsaan Perancis itu menewaskan Ben Foster menerusi gerakan 'set-piece pada minit ke-96 untuk memastikan skuad kendalian Marco Silva itu tidak tewas kepada bekas majikan yang memecatnya, Januari lalu.

Watford hampir meraih kemenangan sebaik Abdoulaye Doucoure menjaringkan gol, dua minit selepas Seamos Coleman terjaring gol sendiri ke gawang Everton.

Situasi itu memadamkan jaringan pendahuluan Everton menerusi Richarlison dalam babak pertama.

Gyfly Sigurdsson terlepas peluang menjadi penyelamat The Toffees, lima minit selepas itu, menerusi sepakan penalti yang digagalkan Foster.

Namun, Digne muncul penyelamat menerusi jaringan saat-saat akhir bagi menafikan kemenangan pertama Watford dalam enam perlawanan terakhir liga.

Richarlison hanya memerlukan 15 minit untuk membuka jaringan menerusi situasi kontroversi selepas Theo Walcott terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Watford memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama, namun hantaran lintang daripada Ken Sema gagal ditanduk kemas Roberto Pereyra.

Pelawat menyamakan kedudukan dalam babak berikutnya dengan Coleman tertampan bola ke gawang sendiri selepas cuba menahan bola tandukan Pereyra pada minit ke-63.

Doucoure hampir membawa kemenangan buat Watford 130 saat selepas itu.

Jordan Pickford gagal menangkap kemas hantaran lintang Pereyra yang kemudian ditanduk masuk pemain tengah itu.

Everton mempunyai peluang terbaik untuk kembali mengikat kedudukan, namun sepakan penalti yang diambil Sigurdsson mudah diselamatkan Foster.

Ketika kemenangan bakal memihak Watford, Digne menyepak kemas bola dari jarak 20 ela untuk menghukum kealpaan Christian Kabasele, yang menahan bola menggunakan tangan, sebelum itu.