Everton mengumumkan bahawa bintang pertahanannya, Lucas Digne, telah menandatangani kontrak baru selama empat tahun.

Kesepakatan berkenaan menyaksikan pemain berusia 27 tahun itu akan menghabiskan kemuncak kariernya di Goodison Park selepas mewakili Barcelona dalam LaLiga, bersama Paris Saint-Germain (PSG) dan Lille dalam Ligue 1 dan semusim secara pinjaman bersama AS Roma dalam Serie A.

Sepanjang hampir tiga tahun di Merseyside, pakar set-piece itu telah menjadi sebahagian penting di bahagian pertahanan dan serangan The Toffees melalui 97 penampilannya dalam kesemua kejohanan.

Digne telah merekodkan enam bantuan jaringan dalam 16 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kurang satu berbanding yang dilakukannya dalam 35 perlawanan musim 2019-20 tetapi dia pernah menghasilkan empat gol dan empat bantuan dalam musim pertamanya setahun sebelum itu.

Pemain kebangsaan Perancis itu meluahkan keinginannya untuk membawa skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sepanjang bersama mereka.

"Dalam pasukan kebangsaan saya, perebutan di posisi saya dan setiap posisi lain amat kuat dan saya perlu bermain di tahap terbaik," kata Digne kepada Evertontv selepas menurunkan tandatangannya.

"Saya bermain dalam liga terbaik dan sudah pasti saya mahu bermain di peringkat tertinggi Eropah (UCL).

"Dan saya mahu melakukannya bersama Everton," katanya.

Hanya dua pemain Liverpool, Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold (28), merekodkan lebih bantuan jaringan berbanding Digne (17) selaku pertahanan sayap sejak dia menyertai EPL.

Selaku pertahanan sayap, Digne juga menjadi pemain kedua terbanyak mencipta peluang dalam EPL (166) di belakang Alexander Arnold sepanjang tempoh itu.

Dia menambah: "Kami mempunyai projek besar bersama kelab ini, kami sedang membina pasukan yang kuat.

"Apabila anda menyertai Everton, ia seperti perkahwinan yang hebat.

"Anda hanya perlu melakukan yang terbaik setiap hari untuk membuktikan rasa cinta buat Evertonian. Itulah yang saya lakukan.

"Saya hanya mahu membalas apa yang telah mereka berikan kepada saya dan ia amat luar biasa.

"Amat jelas di fikiran saya bahawa saya mahu terus bersama Everton," tambahnya.