Eric Dier telah didenda atas kesalahan salah laku oleh Persekutuan Bolasepak (FA) selepas dia bertelingkah dengan penyokong di bangku penonton sewaktu Tottenham Hotspur tewas di tangan Norwich City, bulan lalu.

Spurs disingkirkan menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dengan Norwich dalam aksi pusingan kelima Piala FA di laman sendiri.

Dier -- yang meledakkan gol ketika sepakan penalti -- kecewa dengan tindakan seorang penyokong selepas wisel penamat dan meluru ke bangku penonton.

Pengawal stadium terpaksa menenangkan pemain England itu daripada keadaan menjadi lebih teruk.

Selepas aksi itu, pengurus Spurs, Jose Mourinho, berkata Dier berang dengan ejekan yang diberikan terhadap adiknya dan tidak bersetuju jika pihak kelab mendenda pemain tengah itu.

Namun, semalam pihak FA memberi pengesahan: "Eric Dier telah didenda kerana salah laku mengikut peraturan E3 FA.

"Kami mendapati aksi pemain tengah Spurs itu ketika perlawanan Piala FA menentang Norwich City pada 4 Mac 2020 adalah sesuatu yang memudaratkan.

"Dia mempunyai tempoh sehingga 8 Mei depan untuk memberikan maklum balas."

Dier telah tampil 25 kali dalam semua kejohanan buat Spurs musim ini.