Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, berpendapat dia masih belum mampu menyaingi Jose Mourinho kerana pengendali yang sedang berdepan tekanan hebat di Manchester United itu telah memenangi semua kejuaraan dalam karier.

Chelsea akan melayan kunjungan United ke Stamford Bridge hari ini dalam usaha mengekalkan rekod tanpa kalah Liga Perdana Inggeris tatkala mereka kini hanya dibezakan jaringan dengan pendahulu, Manchester City.

Pengendali dari Itali itu pantas memberikan impak dalam bola sepak England sejak tiba dari Napoli sambil corak bola sepak menyerang yang ditampilkan bukan sahaja memenangi hati penyokong The Blues tetapi semua peminat bola sepak.

Berbeza dengan Chelsea, United kini ketinggalan tujuh mata berbanding lawannya itu dan Mourinho berdepan tekanan ekoran permulaan buruk musim ini sehingga media melaporkan dia bakal dipecat ketika aksi antarabangsa baru-baru ini.

Dalam pada itu, walaupun masa depan Mourinho terus menjadi perdebatan dan keputusan buruk dilalui United, pencapaian Mourinho lebih daripada cukup untuk meraih penghormatan daripada Sarri.

Apabila ditanya sama ada Mourinho lebih bagus daripadanya, Sarri memberitahu wartawan: "Sudah tentu.

"Saya rasa keputusan bercakap bagi pihaknya. Jadi, ketika ini, dia sudah pasti lebih bagus berbanding saya. Saya berharap dapat meningkatkan diri di masa akan datang tetapi sekarang, saya harus nyatakan dia lebih bagus.

"Saya rasa dia berbeza. Saya mempunyai perwatakan sendiri dan ia berbeza dengan apa yang ditampilkan Mourinho. Jadi, saya harus menjadi diri sendiri setiap masa.

"Dia telah memenangi semua di mana-mana. Jadi, saya perlu memenangi trofi untuk membandingkan diri dengannya. Sekarang, ia belum boleh.

"Anda bercakap tentang seorang pengurus terbaik di dunia dan ketika ini, saya bukan salah seorang daripadanya."

Kritikan demi kritikan diterima Mourinho musim ini ekoran kegagalannya mendapatkan sentuhan terbaik daripada beberapa pemainnya serta corak permainan pasukan.

Namun, Sarri berkata corak permainan menyerang United tidak penting jika melihat kepada kejayaan yang telah diraih Mourinho sebelum ini.

"Masalahnya bukan corak permainan, sama ada saya suka atau tidak. Fokus diperlukan jika dia mampu menang. Mourinho telah memenangi banyak kejuaraan, jadi dia mungkin betul," tambah Sarri.

"Saya rasa dia masih mampu untuk menraih kejuaraan di masa akan datang kerana dia adalah salah satu daripada yang terbaik. Dia akan mampu melakukannya sekali lagi."