Ole Gunnar Solskjaer mempertahankan Anthony Martial untuk menemui kembali sentuhan terbaiknya selepas Manchester United dikejutkan dengan kekalahan kepada Sheffield United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Martial hanya menjaringkan dua gol daripada 16 penampilan liga musim ini dan tidak memberikan impak ketika pasukannya tewas 1-2 di Old Trafford awal pagi tadi.

Solskjaer yakin penyerang itu akan kembali mendapatkan semula sentuhannya tetapi faham mengenai pertikaian berkenaan pemain berusia 25 tahun itu dan pasukannya secara keseluruhan.

"Seluruh pasukan ini mungkin mendapat kritikan termasuk diri saya sendiri. Saya tidak fikir Anthony terkecuali daripadanya," kata pengurus United itu dalam sidang media.

"Saya fikir kami semua sepatutnya dikritik jika tidak beraksi baik. Saya mengenali Anto, dia berusaha keras dalam latihan, berusaha memperbaiki peyudahnya, berusaha dengan pergerakannya, saya tidak mempunyai sebarang keraguan mengenainya

"Dia akan menjadi bagus."

Martial hampir menyamakan kedudukan selepas Kean Bryan membuka jaringan pelawat tetapi usahanya itu dibatalkan pengadil gara-gara Harry Maguire mengasari penjaga gol Sheffield, Aaron Ramsdale.

Maguire menanduk masuk gol penyamaan dalam babak kedua tetapi Oliver Burke muncul penjaring gol kemenangan Sheffield untuk memberikan skuad kendalian Solskjaer itu kekalahan keempat dalam 10 perlawanan liga di laman sendiri musim ini -- rekod terburuk mereka sejak musim 2013-14 (tujuh).