Ole Gunnar Solskjaer gembira melihat Bruno Fernandes membuat tuntutan tinggi daripada rakan sepasukannya di Manchester United sambil berharap pemain-pemain lain dalam skuad itu akan mencontohi bintang tengah tersebut.

Fernandes memberikan impak besar di Old Trafford sejak tiba dari kelab gergasi Portugal, Sporting CP, Januari lalu, apabila memainkan peranan penting untuk 34 gol dalam 35 perlawanan bersama United.

Tiada pemain lain yang lebih baik daripada Fernandes daripada segi menyumbat gol kemenangan musim ini untuk menyumbang empat kemenangan.

Pemain berusia 26 tahun itu tidak gentar untuk memberikan arahan di atas padang, malah diberi kesempatan untuk memimpin rakan sepasukan ketika ketiadaan Harry Maguire.

Sehubungan itu, tentu sahaja Solskjaer lebih gembira sekiranya bekas kapten Sporting itu terus mendesak pemain-pemain di sekitarnya jika mereka gagal mencapai standard tinggi yang telah ditetapkannya sepanjang 10 bulan menyarung jersi The Red Devils.

"Pada saat-saat genting, pemain diizinkan untuk menyampaikan kekecewaan mereka dan melepaskan kemarahan dalam satu atau dua detik, kemudian ia akan berakhir kerana diketepikan, ia hanya dilakukan demi kepentingan pasukan," kata bekas penyerang kelab itu.

"Jika ia berlanjutan maka ia boleh menjadi senario yang berbeza. Saya pernah berada dalam sebuah pasukan dan saya suka mereka meluahkannya, bukan pengurus dan jurulatih sahaja yang berteriak.





"Saya mahu pemain saling menggalas tanggungjawab dan meletakkan pemain lain di tempat mereka apabila perlu. Di luar sana kami berjuang untuk satu sebab iaitu demi kemenangan pasukan.

Pemain telah memberi reaksi sangat baik terhadap Fernandes, kami melihat berbagai jenis kepemimpinan, beberapa pemain memimpin menerusi teladan, beberapa pemain lagi dengan kedua-dua elemen itu, sekali-sekala anda hanya perlu membuat keputusan pada masa yang sesuai.

"Dia bukan setakat merangsang pasukan, dia juga memberi petunjuk kepada pemain. Kami semua dapat belajar daripada mentaliti dan pemikirannya, mentaliti untuk menang. Jika mendahului 2-0, dia mahukan 3-0, sekiranya 4-0 dia mahu 5-0 pula, dia sentiasa inginkan pasukan bertambah baik."

Fernandes meledak dua gol ketika membenam Istanbul Basaksehir pertengahan minggu ini untuk memastikan United di laluan pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Barisan kepimpinan Solskjaer itu, bagaimanapun, bergelut untuk mempamerkan prestasi tekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menguasai kedudukan ke-13 -- lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool -- menjelang rombongan ke Southampton, malam ini.