MANCHESTER CITY 2 WEST HAM 1

Fabian Delph memuji kesabaran Manchester City yang membuahkan hasil selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


Pendahulu EPL itu kembali unggul dengan kelebihan lapan mata ke atas Manchester United, yang bakal mereka hadapi dalam aksi seterusnya pada Ahad ini.

Jaringan dalam separuh masa kedua daripada Nicolas Otamendi dan David Silva memadam gol pendahuluan Angelo Ogbonna untuk memastikan kemenangan buat The Citizens di Stadium Etihad – sekali gus memastikan mereka menyamai rekod Arsenal dan Chelsea untuk meraih 13 kemenangan berturut-turut dalam satu musim.

Raheem Sterling meledak gol kemenangan dalam masa kecederaan ketika bertemu Huddersfield Town dan Southampton yang bertahan sepanjang perlawanan.

Ia merupakan kesukaran yang sama dipamerkan oleh West Ham, yang bertahan tetapi memiliki peluang menerusi Michail Antonio dan Manuel Lanzini sebelum Ogbonna menanduk masuk hantaran Aaron Creswell sebelum tamat separuh masa pertama.

Tetapi pemain kebangsaan England, Delph, kecewa dengan pendekatan yang sama dipamerkan lawan.

"Saya dapat berasakan intensiti perlawanan ini tetapi anda mempunyai 11 pemain yang bertahan dan ia menyukarkan kami," katanya.

"Ia berlaku kepada kami pada musim ini. Mereka hanya mahu bertahan.

"Tetapi kami memiliki pemain seperti Silva. Kami menyedari jika kami meneruskan momentum ini, kami mampu menghasilkan peluang.

"Kami menyedari perlu bersabar dalam perlawanan ini. Kami mempamerkan aksi cemerlang pada separuh masa kedua.

"Kami berharap dapat mencipta rekod baru di Old Trafford ketika bertemu United kerana ia merupakan perlawanan 'derby'. Kami mahu memenangi satu perlawanan demi satu perlawanan. Kami berharap dapat meraih tiga mata," katanya lagi.

Sebelum bertemu United, City berkunjung ke Shakhtar Donetsk untuk aksi Liga Juara-Juara (UCL).