Fabian Delph berpendapat bintang Manchester City yang kembali pulih sepenuhnya mampu membantu skuad kendalian Pep Guardiola itu bangkit daripada kekalahan 3-2 kepada Crystal Palace.

City mengalami kekalahan mengejut 2-3 di Stadium Etihad, Sabtu lalu, selepas jaringan Andros Townsend mencetus inspirasi kemenangan Palace, menyaksikan City kini ketinggalan empat mata kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Ia merupakan kekalahan kedua City dan menjejaskan cabaran mereka untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu, dengan aksi berdepan Liverpool, 4 Januari ini, bakal menjadi aksi yang sangat penting buat The Citizens.

Terdapat perkara positif yang diterima ketika berdepan Palace, dengan Sergio Aguero, Riyad Mahrez dan Kevin De Bruyne kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan.

Delph berasakan trio itu mampu melonjakkan kembali persembahan skuad bimbingan Guardiola itu ketika berdepan Leicester City dan Southampton sebelum berakhirnya tahun 2018.

"Kami perlu menerima hakikat kami tewas dalam perlawanan tersebut," kata Delph.

"Ia sudah berakhir, kami perlu fokus untuk aksi berikutnya. Kami mahu memastikan tiga mata diraih.

"Pasukan bakal dibarisi semula dengan pemain-pemain utama dan ia akan meningkatkan peluang kami untuk meraih kemenangan," tambahnya.