WATFORD 3 EVERTON 2

Kapten Watford, Troy Deeney, berkata Stefano Okaka mampu memberikan lebih lagi selepas menjaringkan dua gol ketika menewaskan Everton 3-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Okaka membuat penampilan kali kedua di bawah kendalian Walter Mazzarri dengan meledak dua gol.

Deeney mencadangkan ia merupakan petanda yang positif dan mengharapkan Okaka mampu mengekalkan prestasinya, sekali gus membantu Watford meraih tiga mata dalam perlawanan akan datang.

"Okaka telah memberikan aksi yang berkualiti dan dua jaringan, kami mengharapkan dia mampu mengulangi prestasinya untuk aksi seterusnya," kata Deeney kepada Sky Sports.

Okaka mengakui dia kekurangan masa beraksi sejak tiba dari Anderlecht tetapi yakin dia mampu terus menabur bakti buat pasukannya.

"Saya memiliki kesukaran di awal permainan kerana telah lama tidak beraksi tetapi ia merupakan satu perlawanan yang sangat baik dan kemenangan yang berharga buat pasukan," jelas Okaka.