Penjaga gol Manchester United, David de Gea, memberi tumpuan untuk mencapai kemenangan dan bukannya mengenai lanjutan kontraknya di sebalik laporan mengenai masa depannya di Old Trafford yang tidak menentu.

Kontrak De Gea akan tamat pada hujung musim 2019, namun United mempunyai pilihan untuk melanjutkannya selama 12 bulan lagi meskipun pengurus, Jose Mourinho, mengatakan bahawa beliau "tidak yakin tetapi tidak bimbang" mengenai prospek pemain Sepanyol itu untuk melanjutkan khidmatnya.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang dikaitkan dengan Real Madrid sebelum perpindahan Thibaut Courtois ke Santiago Bernabeu pada awal kempen ini, telah berada di United sejak 2011 dengan memenangi trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Europa dan Piala FA.

United tidak memenangi EPL sejak 2012-13 dan bergelut pada musim ini di celah-celah kesangsian mengenai masa depan Mourinho, justeru De Gea bertekad untuk kembali meletakkan Red Devils di landasan sebenar.

"Apa yang penting adalah pasukan dan kami semua memberi tumpuan kepada apa yang mustahak, iaitu memenangi permainan bukannya kontrak atau topik yang boleh menjadi gangguan," kata De Gea kepada Sky Sports. "Apa yang penting ialah memberi tumpuan kepada bola sepak.

"Kami akan berdepan perlawanan penting menentang Everton dan kami mempunyai beberapa perlawanan penting pada bulan-bulan yang akan datang. Saya fikir itu yang penting dan bukannya memikirkan perkara yang lain.

"Saya sudah berada di sini selama beberapa musim. Seperti yang telah kami katakan, saya sudah berada di kelab ini selama lapan musim, saya sangat gembira di sini, saya selalu berasakan sambutan hangat peminat dan semua pihak yang bekerja di kelab ini."

United -- di kedudukan ke-10 EPL dan 12 mata di belakang pendahulu, Liverpool - akan melayani Everton di Old Trafford tengah malam ini.

Sementara itu, United dan Mourinho mengalu-alukan 12 pemain muda dan jurulatih Thailand yang berkunjung ke Manchester selepas mereka diselamatkan dari sebuah gua di Thailand pada Julai lalu.

'Wild Boars' terperangkap selama lebih dua minggu dan United berjanji akan membawa mereka ke Old Trafford setelah penyelamatan mereka.

United akan mengotakan janji itu dalam pertembungan menentang Everton.