De Gea mampu teruskan kemuncak aksi sedekad lagi -- Solskjaer 

Oleh Shaiful Shamsudin 13 Julai 2020 108
 De Gea mampu teruskan kemuncak aksi sedekad lagi -- Solskjaer 
Ole Gunnar Solskjaer tidak pernah terlintas untuk meminggirkan David de Gea sambil pengurus Manchester United itu berkata penjaga gawang yang telah lama berkhidmat tersebut akan kekal di tahap tertinggi selama sedekad lagi dalam pencariannya menjulang kejuaraan utama di Old Trafford.

De Gea melepasi rekod Peter Schmeichel sebagai pemain dari luar yang melakukan penampilan terbanyak yang menyarung jersi United dengan 399 kemunculan ketika menang 3-0 ke atas pasukan bermasalah, Aston Villa, dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) Jumaat lalu. 

Di sebalik mengharungi detik penting, masa depan De Gea terus hangat diperkatakan berikutan beberapa kesilapan yang dilakukannya selain persembahan mengagumkan pemain pinjaman Sheffield United, Dean Henderson, musim ini.

Begitupun, pengurus United itu menghamburkan pujian terhadap De Gea, yang telah memenangi EPL, Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga Inggeris (EFL) sejak tiba daripada Atletico Madrid pada 2011.

"Ia tidak pernah terlintas dalam fikiran saya selama satu detik sekalipun," katanya ketika ditanya apakah dia mempertimbangkan untuk mengetepikan De Gea menjelang pertembungan dengan Southampton, awal pagi esok. 

 "Tidak sama sekali. Untuk menjadi penjaga gol Man Utd, anda harus memiliki mental yang kuat. David mempunyai mentaliti yang kuat dan dia telah berada di sini sejak sekian lama dan dia mampu mencapai perlawanan ke-400, dan anda tidak mencapainya dengan berasa gentar mengenai perhatian atau gentar dengan Old Trafford.

"Pemain melakukannya dengan turun ke padang sambil membuktikan kualiti dan mental, jadi dia adalah pemain yang berperwatakan kuat dan saya tidak nampak sebarang faedah dengan merehatkannya."


 

Solskjaer, yang menyaksikan The Red Devils belum pernah memenangi gelaran liga sejak Alex Ferguson meninggalkan pasukan itu pada 2012-13, menambah: "David seorang pemain yang hebat dan sejak saya berada di sini, saya senang bekerja dengannya.

"Dia telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia ingin beraksi lebih banyak lagi, mungkin 10 tahun lagi, berapa lama dia dapat kekal kekal di puncak adalah terpulang kepadanya kerana saya senang melihatnya sanggup bekerja keras di samping sikapnya yang merendah diri."

"Dia telah memenangi EPL, Piala FA, Liga Europa, Piala Liga, tetapi itu mungkin belum cukup baginya," sambungnya. 

"Saya tidak fikir dia akan berasa gembira sehinggalah detik dia memenangi piala yang lebih besar dan keputusannya kekal di Man United di sebalik tanpa kejuaraan utama, saya rasa ia sesuatu yang akan dia rasakan sebagai satu titik hitam dalam kariernya.

"Ya, dia pernah memenangi anugerah peribadinya. Saya tidak fikir David mementingkannya, dia juga mahu pasukan diwakilinya menjulang trofi besar."

United sedang membina reputasi dengan catatan 17 perlawanan tanpa kalah dalam kesemua pertandingan apabila mahu memanfaatkan situasi menguntungkan dalam EPL minggu lalu dalam misi kelayakan Liga Juara-Juara (UCL).
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen