Kevin de Bruyne tidak bercadang untuk meninggalkan Manchester City sambil mendedahkan dirinya akan kekal bersama pasukan itu dalam tempoh yang lama.

Bintang Belgium itu kini muncul antara pemain terbaik yang beraksi di England sejak berpindah dari Wolfsburg pada 2015.

Kontraknya selama enam tahun di Etihad kini masih berbaki empat musim dan pemain berusia 26 tahun itu jelas menggemari kehidupan di bawah kendalian Pep Guardiola.

"Sejak Guardiola datang ke pasukan ini, dia menerapkan gaya permainan yang saya suka dan ia memudahkan pemain.

"Bersama skuad sebelum ini, mereka melakukan banyak perpindahan dan pasukan dipenuhi pemain-pemain muda kerana mereka sedang membina skuad masa depan.

"Saya sukakan projek tersebut dan amat gembira menyaksikan diri saya kekal di sini," kata De Bruyne.

Bekas pemain Chelsea itu telah menjaringkan satu gol dan mencatat enam bantuan jaringan hasil daripada 10 perlawanan liga, sekaligus membantu The Citizens berada di puncak liga dengan kelebihan lima mata.

City bakal melayani kunjungan Arsenal ke Etihad pada Ahad ini dan kini berada di prestasi terbaik selepas menundukkan Napoli 4-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), kelmarin.