De Bruyne rekod bantuan jaringan ke-100 dengan Manchester City

Oleh Muzaffar Musa 18 Januari 2021 222
De Bruyne rekod bantuan jaringan ke-100 dengan Manchester City
Kevin De Bruyne mendaftarkan bantuan jaringannya yang ke-100 sepanjang mewakili Manchester City dalam kesemua kejohanan apabila menghasilkan umpanan lintang gemilang yang menemui John Stones untuk membuka jaringan pembukaan ke atas Crystal Palace awal pagi tadi.

Selepas hampir melakukannya lebih awal dengan melakukan hantaran kepada Raheem Sterling, De Bruyne mencipta catatan bersejarah itu pada minit ke-26 perlawanan berkenaan.

Selepas Palace gagal mengeluarkan bola susulan satu sepakan sudut, De Bruyne melambungkan bola dari bahagian sayap kiri dengan menggunakan bahagian luar kakinya sebelum bola itu menemui kepala Stones, yang kemudian meraikan jaringan pertamanya bersama City.

Ia bermakna perancang Belgium itu telah mencipta 31 jaringan Liga Perdana Inggeris (EPL) lebih banyak berbanding mana-mana pemain sejak melakukan penampilan pertamanya bersama City pada 2015.

Daripada 100 bantuan jaringan yang dihasilkannya, 75 dilakukan dalam 165 penampilan EPL manakala pemain berusia 29 tahun itu turut mencetuskan 15 gol daripada 37 penampilan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Lima lagi dihasilkan dalam saingan Piala FA manakala empat bantuan jaringan lain dilakukan ketika kempen Piala EFL -- di mana City memenangi gelaran itu sebanyak empat kali sejak De Bruyne menyertai pasukan berkenaan -- dan satu lagi bantuan terhasil dalam pusingan kelayakan UCL.
 
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen