De Bruyne: Penggantungan dua tahun UCL terlalu panjang 

Oleh Shaiful Shamsudin 3 Mei 2020 989
De Bruyne: Penggantungan dua tahun UCL terlalu panjang 
Kevin De Bruyne sedia mempertimbangkan masa depannya di Manchester City seandainya hukuman penggantungam dua musim dalam Liga Juara-Juara (UCL) kekal meskipun dia tidak terdesak untuk meninggalkan kelab itu.

De Bruyne dalam prestasi mengagumkan musim ini sebelum bola sepak di Eropah terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan kerana krisis novel koronavirus (Covid-19). 

Sebelum penangguhan perlawanan, De Bruyne memainkan peranan besar ketika City mendahului 2-1 ke atas Real Madrid dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Begitupun, nasib City dalam saingan Eropah masih samar berikutan hukuman yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) -- membabitkan pelanggaran peraturan Fair Play Kewangan (FFP).

Pemain berumur 29 tahun tersebut menganggap tempoh dua tahun itu mungkin mendorongnya untuk mempertimbangkan destinasi baru sungguhpun percaya kelab berkenaan akan memenangi rayuan mereka.

 

"Saya hanya perlu menunggu," katanya dalam wawancara video dengan HLN Live. 

"City telah memaklumkan bahawa mereka sudah membuat rayuan dan hampir 100 peratus yakin bahawa mereka di pihak yang benar.

"Itulah sebabnya saya menunggu untuk melihat apa yang akan berlaku. Saya mempercayai pasukan saya. Setelah kenyataan itu dibuat, saya mula mengkaji segalanya.

"Dua tahun (tanpa aksi Eropah) adalah tempoh yang panjang, dalam masa setahun saya mungkin perlu memantau situasinya. 

"Tetapi saya sangat gembira dengan City. Saya beraksi bersama salah sebuah pasukan terbaik di dunia, bermain di England -- kancah yang terbaik dan saya menggemarinya.

"Untuk menjadi yang terbaik merupakan satu cabaran dan saya juga memerlukannya. Takdir tetap akan berlaku."

Bagaimanapun, bintang Belgium itu sama sekali tidak terjejas dengan kedudukan Pep Guardiola kerana pernah bekerjasama dengan pengurus berbeza dan dalam masa sama memuji pengurus kem kebangsaannya, Roberto Martinez, yang melanjutkan kontraknya sehingga Piala Dunia Qatar 2022.  

"Dia meraih banyak pengalaman di England. Sistem permainannya berubah-berubah dan ia menjadi. Kami semakin meningkat dalam beberapa tahun terakhir."




5

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen