Kevin De Bruyne adalah pemain tengah terbaik dunia, kata pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

Aksi pertama Liverpool sejak mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris tampak mahu dilupakan selepas dibelasah City 4-0 di Etihad, awal pagi tadi.

De Bruyne meledakkan gol pertama menerusi sepakan penalti selepas Joe Gomez menjatuhkan Raheem Sterling, yang kemudian menambah gol kedua mengatasi bekas majikannya, 10 minit kemudian.

Phil Foden menjadikan kedudukan 3-0 sebelum rehat dan Alex Oxlade-Chamberlain menampan rembatan Sterling ke dalam gawang sendiri untuk melengkapkan kemenangan City 4-0.

Dua daripada empat jaringan itu dihasilkan menerusi hantaran hebat De Bruyne ketika melakukan pergerakan dan pemain tengah Belgium itu mengesahkan status selaku perancang terbaik Liga Perdana Inggeris, musim ini.

"Dia seorang pemain yang bagus. Sangat bagus. Dia memiliki sesuatu yang unik," kata Guardiola.

"Dia boleh berlari, memiliki visi. Personaliti yang ditampilkan ketika ini, meledakkan empat sepakan penalti dengan sempurna tatkala kami bergelut dengannya musim ini.

"Ketika ini, bahagian tengah adalah yang terbaik.

"Sudah tentu dia akan bertambah baik. Bagaimana? Dia tahu."

Foden sekali lagi membuktikan peranannya memberi sokongan dengan pemain skuad B-21 England itu meraih gol keempat dalam tiga aksi liga sejak saingan disambung semula.

"Apa yang kami lakukan adalah cuba melindunginya," tambah Guardiola.

"Tidak membiarkan dia beraksi dalam setiap perlawanan. Pemain muda perlu berhati-hati dalam setiap langkah.

"Dia memiliki sesuatu yang meyakinkan saya bahawa dia akan menjadi pemain hebat.

"Dia tidak pernah merungut apabila tidak dapat bermain. Dalam sesi latihan, segalanya positif. Semua pemain mara ke depan tanpa kesal.

"Dia memberikan saingan yang bagus, individu yang mencipta jaringan hebat, sangat pantas dan bertahan dengan baik."