Pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne, kembali cergas untuk menghadapi Liverpool bagi pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL), esok.

De Bruyne kembali mengikuti sesi latihan, Isnin lalu, selepas menghabiskan lebih enam minggu untuk merawat kecederaan lututnya.

Pemain Belgium itu tidak beraksi sejak pembukaan kempen musim ini, namun Pep Guardiola mendedahkan pemain terbaik kelab itu pada musim lalu sedang dipantau dengan teliti untuk kunjungan ke Anfield.

Proses pemulihan De Bruyne berkembang lebih pesat daripada jadual asal dan dia boleh menyertai skuad di samping Benjamin Mendy yang turut kembali cergas.

"Semua orang baik-baik saja, hanya khidmat (Fabian) Delph tidak boleh digunakan, selebihnya baik-baik saja," Guardiola memberitahu sidang akhbar.

"(Ilkay) Gundogan bergelut dengan sedikit masalah, saya tidak tahu jika dia akan turut serta tetapi dia tidak mengikuti latihan hari ini, maka kami akan memantaunya esok.

"(De Bruyne) menjadi sebahagian daripada sesi latihan hari ini. Dia berlatih dengan kami dan kami akan menilainya esok (sama ada dia boleh beraksi atau tidak)."

Kembalinya pertahanan, Mendy, daripada kecederaan metatarsal dan kemungkinan kehadiran De Bruyne dan Gundogan akan meningkatkan harapan juara bertahan itu untuk mengakhiri tiga kekalahan kompetitif kepada Liverpool.

Kekalahan termasuklah kedua-dua pertemuan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu, rekod buruk kebelakangan ini itu bagaimanapun tidak mengganggu Guardiola.

"Tidak kira kami tewas tiga perlawanan atau memenangi ketiga-tiga perlawanan, Liverpool menundukkan kami, malah mereka menewaskan banyak pasukan, bukan setakat Manchester City," katanya.

"Dalam UCL, kami juga kalah kepada Monaco dan Shakhtar (Donetsk). Saya tidak berdendam, mereka mengalahkan kami, jadi saya harus akur. Mereka memiliki pengurus dan barisan pemain handalan.

"Mereka cekap memanfaatkan kesilapan anda daripada segi bola kedua dan ketika dalam situasi kelam-kabut, mereka sangat bagus untuk membuat serangan balas.

"Mereka pasukan handalan. Mereka mara ke final UCL musim lalu dan mereka menjadi pencabar yang kuat."