Bintang Manchester City, Kevin De Bruyne, mendedahkan bagaimana Pep Guardiola menggesa pasukannya untuk mengekalkan kepercayaan walaupun masih gagal mencipta sebarang kemenangan.

City gagal untuk mencipta sebarang kemenangan dalam lima perlawanan selepas seri 1-1 dengan Southampton di Stadium Etihad dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad.

Walaupun masih berada di takhta liga, gaya permainan penguasaan bola skuad bimbingan Guardiola kini dipersoalkan.

De Bruyne berkata pengendali dari Sepanyol itu memberitahu pasukan untuk terus menggunakan pendekatan ini di sebalik baru meraih satu lagi keputusan seri.

"Beliau memberitahu kami supaya mempercayai taktikal ini. Guardiola tidak mahu kami meragui cara permainan kami," katanya kepada Daily Mail.

"Guardiola mahu memastikan kami mengetahui cara yang kami bermain sekarang adalah cara yang baik. Itu adalah mesejnya. Terdapat banyak risiko dalam cara kami bermain dan kami menyedarinya.

"Saya tahu ini bukanlah dunia yang sangat penyabar tetapi kami sedang mencuba sesuatu yang masih baru. Akan ada turun-naik dalam cara ini.

"Pasukan-pasukan lain akan dapat menyesuaikan diri dengan kami tapi segala-galanya akan OK kesudahannya. Kami tahu kami perlu belajar semuanya dengan sempurna untuk cara ini berjaya."

De Bruyne berkata perlawanan seterusnya berdepan Manchester United dalam Piala EFL akan memberikan kesukaran buat City untuk terus menguji pendekatan Guardiola ini.

Namun, pemain berusia 25 tahun itu berkata pasukannya hanya perlu memberikan fokus dan cuba untuk mengurangkan kesilapan.

"Setiap gol yang dibolosi berpunca daripada kesilapan kami. Jika kami dapat mengurangkannya, kami mampu bermain dengan lebih baik."