Kecederaan bahu yang dialami Kevin De Bruyne masih belum sembuh sepenuhnya dan timbul keraguan sama ada dia akan beraksi dalam aksi setempat di antara Manchester United dan Manchester City di Old Trafford, awal pagi Isnin nanti.

Pemain Belgium itu terlepas kemenangan ke atas Sheffield Wednesday dalam saingan Piala FA, pertengahan minggu ini selepas mengalami kecederaan bahu sewaktu final Piala EFL menentang Aston Villa di Wembley.

Selepas aksi pusingan kelima Piala FA di Hillsborough, pengurus City, Pep Guardiola, berkata dia tidak pasti jika De Bruyne akan beraksi menentang United.

"Dia semakin baik," kata pengendali itu.

"Hari ini, kami tidak berlatih tetapi dia akan menjadi lebih baik esok. Saya bercakap dengan ahli fisiologi pasukan pagi ini dan dia menjelaskan De Bruyne semakin baik. Tidak sempurna tetapi lebih baik. Lihat nanti."


Seorang pemain yang pasti akan terlepas kunjungan ke Old Trafford adalah tonggak sayap, Leroy Sane.

Pemain Jerman itu diketepikan sejak Ogos lalu selepas mengalami kecederaan lutut kanan tetapi kini telah kembali menyertai latihan selama sebulan dan tampil bersama skuad pembangunan City menentang Arsenal, minggu lalu.

Bagaimanapun, kemungkinan Sane akan kembali bersama skuad senior City hujung minggu ini dipadamkan oleh Guardiola.

"Tidak. Seperti saya katakan sebelum ini, dia menunjukkan kemajuan yang ketara," tambah pengurus itu.

"Namun, dia masih belum 100 peratus cergas dan ketika ini, dia perlu bersedia untuk beraksi dalam perlawanan rasmi.

"Saya fikir aksi bersama skuad pembangunan adalah sesuatu yang bagus.

"Dia akan rasa sendiri pergerakannya dalam sesi latihan kerana setiap minggu, Sane semakin baik. Kemudian, saya akan berikan waktu permainan untuknya secepat mungkin tetapi bukan perlawanan ini."