Kevin De Bruyne dijangka terlepas perlawanan untuk Manchester City ekoran kecederaan, perkara itu diumumkan Pep Guardiola semalam.

Pemain tengah, De Bruyne, dipaksa keluar padang ketika Belgium tewas 2-1 kepada England hujung minggu lalu dan sekadar menyaksikan kemenangan 2-1 ke atas Iceland Rabu lalu.

Guardiola mengesahkan menjelang pertemuan dengan Arsenal bahawa pemain berusia 29 tahun itu bakal diketepikan namun tidak pasti berapa masa diperlukan untuk dia kembali pulih.

"Ramai telah kembali dengan prestasi yang lebih baik berbanding sebelum ini, kerana sebelum ini, [Joao] Cancelo, Bernardo Silva dan beberapa pemain lain tidak dapat beraksi ekoran kecederaan pada permulaan musim.

"Malang buat Kevin akan diketepikan, tetapi pemain-pemain lain telah berada di tahap terbaik. Saya tidak berasakan [kecederaan De Bruyne] begitu serius, tetapi dia tidak dapat beraksi dalam perlawanan seterusnya."

City sebelum ini tanpa khidmat penjaring gol terbanyak kelab, Sergio Aguero, sejak Jun ekoran kecederaan lutut tetapi mungkin akan kembali membuat penampilan musim ini berdepan Arsenal.

Bagaimanapun, Gabriel Jesus, yang terlepas empat perlawanan terakhir pasukan, akan terus diketepikan.

"Sergio berlatih dengan baik dan kami sangat gembira," kata Guardiola. "Setiap pasukan perlukan penyerang, dan kami bermain tanpa mereka sejak hari pertama.

"[Jesus] mengalami kecederaan. Kami perlu merehatkan dia kerana jika kami mengambil risiko untuk terus menurunkannya, dia bakal diketepikan untuk jangka masa yang panjang."