Ketua jurulatih DC United, Ben Olsen, mengesahkan minat pasukannya untuk mendapatkan Wayne Rooney dari Everton.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman buat England itu dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Bolasepak Utama (MLS) selepas melalui kempen mengecewakan bersama kelab kesayangannya itu.

Pengurus Everton, Sam Allardyce, semalam berkata dia menyangka perbincangan di antara pemain itu dan DC telah berlangsung walaupun Rooney tidak menghantar sebarang permintaan untuk berpindah.

Olsen kini mengakui pasukannya mahu membawa bekas kapten Manchester United itu ke Amerika Syarikat tetapi masih belum ada sebarang persetujuan dicapai.

“Saya tidak pasti apa yang anda katakan,” kata Olsen apabila ditanya mengenai minat terhadap Rooney.

“Sejujurnya, tiada perjanjian dicapai tetapi pihak kami memang meminatinya.”

Rooney kembali ke Everton pada tahun lalu selepas 13 tahun beraksi buat The Red Red Devils, memenangi 12 kejuaraan utama dan bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman buat pasukan dengan 253 gol.

Pemain berusia 32 tahun itu mencatat 11 gol pada musim ini tetapi gagal meraih jaringan sejak kemenangan 3-1 ke atas Swansea City pada 18 Disember lalu.