Pemain perancang Manchester City, David Silva, akan kekal selaku tonggak kreatif buat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selepas menandatangani lanjutan kontrak sehingga 2020.

Silva ternyata memukau sejak menyertai City daripada Valencia pada 2010 dan pemain antarabangsa Sepanyol itu rata-rata dianggap salah seorang pemain terbaik dalam sejarah kelab itu.

Pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain, mengalu-alukan perkhabaran itu dengan mengangkat Silva selaku “pemain tengah kreatif terbaik dalam bola sepak Inggeris” dan angka-angka yang dihasilkan pemain berusia 31 tahun itu sepanjang dekad ini sekadar mengukuhkan dakwaan itu.

Dengan berpandukan kepada data Opta, mari kita lihat kecemerlangan pemenang dua kali kejuaraan EPL ini:

72 – Bantuan jaringan adalah kekuatan utama Silva dan dia telah mencipta 72 gol EPL dalam jersi City. Sejak penampilan pertamanya pada Ogos 2010, tiada pemain lain dalam EPL yang mampu mendekatinya. Wayne Rooney dan Cesc Fabregas menyusul dengan 51 setiap seorang manakala Mesut Ozil melakukan 47 sejak menyertai Arsenal pada 2013.

15 – Jumlah bantuan jaringan tertinggi Silva dalam semusim ketika dia merangsang City kepada kejuaraan pertama mereka dalam EPL pada 2011-12. Dia tidak pernah menyumbang kurang daripada tujuh bantuan jaringan semusim dan sudah pun melakukan tujuh untuk skuad bimbingan Pep Guardiola musim ini – yang terbaik dalam liga.

38 – Kelebihan yang dimiliki Silva ke atas Kevin De Bruyne di puncak carta bantuan jaringan buat City dalam Liga Perdana. Rakannya di barisan tengah itu memiliki 34 manakala Sergio Aguero – pemanfaat paling kerap daripada kecemerlangan Silva – memiliki 32.

162 – Ryan Giggs mencatat jumlah ini selaku pendahulu senarai bantuan jaringan sepanjang zaman. Fabregas (110), Frank Lampard (102) dan Rooney (101) adalah pemain-pemain lain yang mencatat tiga angka. Silva menyusul di tangga ke-11 keseluruhan.

640 – Jumlah peluang yang dicipta oleh Silva sejak ketibaannya dalam Liga Perdana. Dia mengatasi Leighton Baines (456) dan Eden Hazard (435). Namun, De Bruyne mengatasinya 43-31 daripada segi peluang dicipta musim ini tapi kurang satu dalam bantuan jaringan.

12 – Musim paling prolifik Silva dalam melakukan jaringan pada 2014-15 ketika City muncul naib juara di belakang Chelsea.

5 – Pemain antarabangsa Sepanyol ini telah menjaringkan lebih banyak gol menetang Newcastle United berbanding mana-mana pasukan lain dalam Liga Perdana, dengan masing-masing empat gol ketika menentang West Brom dan Crystal Palace.

35 – Jumlah gol antarabangsanya meletakkan Silva di tangga keempat selaku penjaring terbanyak Sepanyol sepanjang zaman di belakang David Villa, Raul dan Fernando Torres.

118 – Silva seorang anggota kelab 100 Sepanyol, dengan hanya Iker Casillas, Sergio Ramos dan Andres Iniesta telah bermain lebih banyak perlawanan untuk La Roja. Dia menjaringkan dua gol dalam Euro 2012, termasuk gol pembukaan dalam kemenangan 4-0 ke atas Itali.