David Luiz sedia bertanggungjawab dengan kekalahan Arsenal kepada Manchester City sambil berkata dia sepatutnya menyelesaikan segala persoalan mengenai masa depannya sebelum musim ini kembali bersambung.

Pemain berbangsa Brazil itu menjadi punca kepada dua jaringan City ketika Arsenal menyambung semula kempen liga mereka dengan kekalahan 0-3 dalam keadaan hujan di Stadium Etihad.

Bekas pertahanan tengah Chelsea itu gagal mengeluarkan bola yang membenarkan Raheem Sterling membuka jaringan menjelang waktu rehat separuh masa.

Dia kemudian dilayangkan kad merah kerana mengasari Riyadh Mahrez -- memberikan City sepakan penalti yang disudahkan Kevin de Bruyne -- sebelum Phil Foden menjaringkan gol ketiga tuan rumah selepas 40 minit menentang lawan dengan 10 pemain itu.

Bagaimanapun, pemain berusia 33 tahun itu, yang kontraknya bersama Arsenal akan tamat pada penghujung musin ini, sedia bertanggungjawab di atas kekalahan pasukannya.

"Ia bukannya kesalahan pasukan ini, ia kesalahan saya, saya yang mengambil keputusan untuk beraksi," katanya kepada Sky Sports.

"Saya sepatutnya mengambil keputusan yang berbeza dua bulan lalu tetapi saya tidak melakukannya.

"Saya fikir pasukan ini telah beraksi baik, terutama ketika beraksi dengan 10 pemain.

"Jurulatih amat hebat, pemain juga hebat, ia hanya salah saya," katanya.

Dengan terlalu banyak spekulasi mengenai masa depannya, David Luiz berasakan keputusan lebih awal mengenai kontraknya mungkin dapat membantu prestasinya.

"Keputusan yang berbeza, untuk mencuba memikirkan mengenai masa depan saya, mencuba untuk melakukan keputusan itu secepat mungkin, tetapi saya tidak melakukannya," katanya.

Dia menambah: "Saya tidak mahu menggunakannya sebagai alibi atau alasan. Ia salah saya, hanya itu sahaja."

Mikel Arteta mahu mengekalkan pertahanan itu di dalam pasukannya dan David Luiz berkeinginan untuk memanjangkan tempohnya di Arsenal melebihi satu musim.

"Saya mahu berada di sini. Kerana itu saya terus berlatih bersungguh-sungguh. Kerana itu saya berada di sini hari ini. Kerana itu saya mencuba untuk melakukan segala-galanya.

"Kerana itu saya berada di sini untuk memperlihatkan wajah saya.

"Kerana itu saya berkata kepada pemain lain bahawa tiada sesiapa perlu mengeluarkan kenyataan.

"Hanya saya. Saya perlu menunjukkan wajah saya dan berada di sini.

"Saya mahu kekal, jurulatih tahu mengenainya.

"Jurulatih mahu saya kekal di sini, jadi kami masih menantikan keputusan itu," katanya.