David Luiz: Arsenal layak menang Piala FA

Oleh Muzaffar Musa 19 Julai 2020 275
David Luiz: Arsenal layak menang Piala FA
David Luiz berasakan Arsenal telah menunjukkan kematangan untuk mengatasi 'salah satu pasukan terbaik dunia', iaitu Manchester City, untuk melangkah ke final Piala FA awal pagi tadi.

Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol dalam setiap separuh masa untuk memastikan skuad The Gunners itu menang 2-0 ke atas skuad kendalian Pep Guardiola berkenaan, sekali gus memberikan kemenangan buat Mikel Arteta, yang meninggalkan City pada Disember tahun lalu untuk mengendalikan Arsenal di Stadium Emirates.

Selepas memaparkan pertahanan ampuh ketika menewaskan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, 2-0 khamis lalu, Arsenal mengulangi prestasi sama ke atas City, yang hanya mampu melakukan satu percubaan tepat di Stadium Wembley awal pagi tadi.

Pertahanan tengah Brazil,  David Luiz, yang menjadi mangsa kritikan sepanjang musim ini, berasakan kejayaan memenangi trofi itu akan membuktikan peningkatan kelab berkenaan di bawah kendalian Arteta walaupun perjuangan mereka masih belum tamat.

"Ia keputusan yang baik menentang salah satu pasukan terbaik di dunia," kata bekas pertahanan Chelsea itu kepada BT Sport.

"Kami merendah diri, kami memahami cara yang diperlukan dan kami mengambil peluang untuk menjaringkan gol.

"Kami perlu matang untuk memahami tahap apa yang kami sedang lalui.

"Kami mempunyai jurulatih yang hebat tetapi kami tidak boleh melompat dari 0 ke 100.

"Kami sedang meningkat. Semangat pasukan ini amat hebat dan saya gembira untuk pasukan ini kerana mereka layak menang.

"Seluruh pasukan bertahan, ia bukan hanya barisan terakhir.

"Setiap pemain perlu berjuang dan beraksi 100 peratus. Ia sebahagian daripada kejayaan.

"Satu lagi pasukan berada jauh di depan kami tetapi kami merendah diri, jadi apabila kami bermain seperti itu, kami dapat menewaskan lawan dan itulah yang kami lakukan," katanya.
 
David Luiz, yang dibuang padang selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Arsenal tewas 0-3 kepada City dalam perlawanan liga bulan lalu, telah menandatangani kontrak lanjutan selama setahun di Stadium Etihad.

Pemain berusia 33 tahun itu berharap dapat menamatkan musim ini dengan julangan trofi, di mana mereka akan berdepan sama ada Chelsea atau Manchester United dalam final pada 1 Ogos ini.

"Ia sebahagian daripada bola sepak, saya faham bahawa bola sepak adalah tentang kelangsungan hidup," katanya mengenai komen negatif berkaitan prestasinya.

"Anda perlu bertahan dengan perkara-perkara pelik setiap hari.

"Saya berusaha keras setiap hari selepas melakukan kesilapan. Saya tidak kisah berusaha lebih keras untuk pasukan ini.

"Kami ada perlawanan final yang perlu dihadapi musim ini dan kami akan mencuba untuk memenagi gelaran buat kelab ini kerana kelab ini layak untuk menjulang trofi," katanya.


 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen