Matteo Darmian tidak pasti mengapa Jose Mourinho sukar memberinya peluang untuk mengukuhkan tempatnya dalam pasukan Manchester United.

Darmian mengambil peluang di atas kecederaan yang menimpa Antonio Valencia, Luke Shaw dan Chris Smalling dalam tiga aksi terakhir United, namun dia tidak diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum diberi kesempatan beraksi ketika diikat 0-0 dengan Burnley, bulan lepas.

Dengan Valencia baru selesai menjalani pembedahan tangannya yang patah, Darmian mungkin menggalas tanggungjawab untuk mengekang Arsenal di Old Trafford pada Sabtu ini meskipun Mourinho mengerah Ashley Young dalam pertemuan dengan Swansea City sebagai pertahanan kanan yang menjadi posisi kegemaran Darmian.

Sehingga kini, perancangan Mourinho terhadap bekas tonggak Torino itu untuk tempoh panjang masih kabur, namuh Darmian percaya dia sudah membuktikan kemampuannya di posisi tersebut ketika membantu Itali mencatatkan keputusan seri 0-0 dengan Jerman, awal pagi tadi.

Diajukan soalan mengenai khidmatnya yang jarang digunakan, Darmian memberitahu Rai Sports: "Saya tidak tahu mengapa, ia soalan yang sukar untuk dijawab.

"Keputusan di tangan jurulatih dan kami perlu menerimanya. Saya sentiasa berusaha gigih dan memberikan yang terbaik ketika diturunkan dan saya akan terus berbuat demikian.

"Keazaman saya tidak pernah pudar dan ia adalah asas, khususnya dalam tempoh di mana anda jarang diturunkan.

"Sejak hari pertama lagi, saya menganggap saya bukanlah pemain utama dan cuba menambat hati jurulatih."

Darmian turut enggan mengulas mengenai laporan yang mengaitkannya ke Inter Milan.

"Saya tidak tahu, masih terlalu awal untuk bercakap mengenai pasaran pemain. Esok, saya akan pulang ke Manchester dan kami akan menghadapi perlawanan getir menentang Arsenal, semua pemain mahu terlibat."