Bruno Fernandes sudah menyesuaikan diri dengan baik di Manchester United dan kelihatan seperti sudah dua tahun bersama pasukan itu, kata rakan sepasukannya, Diogo Dalot.

Fernandes melakukan penampilan pertamanya ketika United terikat 0-0 dengan Wolves, 1 Februari lalu, selepas meninggalkan Sporting CP untuk menyertai pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

Dalot berkata rakan senegaranya dari Portugis itu telah menyesuaikan diri bersama United, yang ketika ini berada di Sepanyol bagi memenuhi jadual waktu rehat pertengahan musim.

"Amat sempurna. Maksud saya, dia seperti sudah dua tahun berada di sini," kata pertahanan sayap itu dalam laman web rasmi pasukannya.

"Dia dapat bergaul dengan baik bersama pemain lain, amat baik untuk memilikinya di sini.

"Ia amat baik untuk saya dan pasukan kerana dia pemain yang amat hebat.

"Jadi, dia akan menjadi seorang lagi pemain yang akan membantu pasukan ini," katanya.

United melalui musim sukar dengan kini menduduki tangga kelapan EPL tetapi masih bersaing dalam Piala FA dan Liga Europa.

Dalot berharap United, yang akan berkunjung ke laman Chelsea, Isnin depan, dapat menamatkan musim ini di kedudukan empat teratas dan memenangi satu trofi.

"Kerana itu kami berada di sini. Man United sentiasa berjuang untuk trofi dan untuk memenangi perlawanan.

"Kesemua kejohanan itu, kami berharap dapat memenanginya dengan segala-gala yang kami ada dan akan berusaha untuk menamatkan Liga Perdana di tangga empat teratas.

"Kerana itulah yang kami mahukan selaku pemain.

"Saya fikir kami mempunyai segala-galanya untuk melakukannya," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa