Covid-19: Winks percaya majoriti pemain janggal beraksi tanpa penyokong 

Oleh Shaiful Shamsudin 5 Mei 2020 33
Covid-19: Winks percaya majoriti pemain janggal beraksi tanpa penyokong 
Pemain tengah Tottenham, Harry Winks, percaya sebilangan besar pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak bersetuju beraksi di gelanggang tertutup. 

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, laporan yang memperincikan aspek 'Project Restart' muncul -- rancangan awal untuk menyambung semula saingan divisyen utama di England itu di venue berkecuali tanpa kehadiran peminat, cadangannya pada pertengahan bulan depan walaupun dibayangi wabak novel koronavirus (Covid-19).

Begitupun, tonggak antarabangsa England itu mengulangi nada ketua pasukan, Hugo Lloris, apabila berasakan sebarang perlawanan akan terjejas teruk tanpa kehadiran penyokong.

"Tentu saja ia satu kemungkinan dan boleh berlaku. Mungkin ia sesuatu yang tidak mahu dilakukan setiap pemain EPL," katanya kepada BBC Radio 5 Live.

 
"Ia situasi yang janggal tanpa kehadiran peminat di stadium. Itulah (elemen) yang menghidupkan bola sepak, itulah yang membangkitkan suasana (perlawanan).

"Itulah sebabnya mengapa bola sepak dimainkan dan dihayati oleh semua orang, ia demi peminat. Apabila kami tidak dapat mendengar sorakan, tidak dapat mendengar suara orang ramai, ia akan menjadi situasi yang aneh."

Winks pernah mengalami situasi serupa ketika menentang Croatia di peringkat antarabangsa apabila terpaksa mengharungi perlawanan di stadium tertutup pada 2019, justeru dia tidak menyukai suasananya. 

Dia berkata: "Kami pernah mengharungi (situasi serupa) ketika bertemu Croatia musim lalu dan ia adalah situasi yang sangat pelik. 

"Ia bukan sesuatu yang saya suka dan saya tahu ramai pemain berasakan hal yang sama. Ia bukan sesuatu yang benar-benar ingin dilakukan oleh sesiapa sahaja tetapi jika ada satu langkah yang diketengahkan, maka ia perlu dilakukan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen