Manchester United bakal mengambil langkah penting apabila mereka kembali menjalani latihan pada hari ini, kata pertahanan, Luke Shaw.

Walaupun hubungan antara pemain tidak dibenarkan, skuad United akan menikmati sesi pertama sejak kekangan coronavirus dilonggarkan.

Sesi untuk kelompok kecil akan dijalankan tetapi pemain perlu mengikuti penjarakan sosial yang ditetapkan, tiba dengan memakai kelengkapan latihan dan mandi di rumah berbanding berkongsi bilik persalinan.

"Peraturan perlu sangat ketat tetapi kami akan mengikutinya bagi memastikan segalanya berjalan lancar dan selamat," katanya.

"Saya fikir kami akan mengikutinya dengan baik kerana semua memandang ke depan untuk kembali ke padang. Berlari di taman memang bagus tetapi ia tidak ideal.

"Kami perlu bekerja, kekal cergas dan bagus untuk dikelilingi oleh orang berbeza serta melihat rakan sepasukan lebih lama. Ia satu langkah penting untuk kembali berlatih di padang yang sama."

Shaw menyertai United daripada Southampton pada 2014 dan dia yakin pengendali, Ole Gunnar Solskjaer, akan menetapkan kadar latihan yang tinggi apabila saingan Liga Perdana Inggeris disambung.

"Saya pasti akan ada beberapa latihan kecergasan apabila kembali tetapi kami banyak melakukan larian sepanjang tiga minggu lalu dan kini, kami hanya perlu melibatkan diri dengan bola," tambahnya.

"Apa yang penting adalah membiasakan diri dan bagus untuk melakukan hantaran, menggelecek dan mendapatkan semula sentuhan."