COVID-19: Salah positif ujian saringan kedua

Oleh Muzaffar Musa 14 November 2020 548
COVID-19: Salah positif ujian saringan kedua
Mohamed Salah diuji positif koronavirus dalam ujian kedua yang mengesahkan penyerang Liverpool itu perlu menjalani tempoh pengasingan.

Persatuan Bolasepak Mesir (EFA) mendedahkan malam tadi bahawa Salah diuji positif COVID-19 sebelum melakukan satu lagi ujian saringan ke atas pemain itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang kelegaan buat pemain berusia 28 tahun itu apabila ujian saringan kedua berkenaan turut menunjukkan keputusan positif.

Salah akan terlepas dua perlawanan Mesir menentang Togo dan tidak dapat diturunkan Liverpol dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan pendahulu liga, Leicester City, 25 November ini.

Keadaannya untuk diturunkan ketika menentang Atalanta dalam Liga Juara-Juara Eropah pada 25 November ini turut menjadi tanda tanya.
 
"Bintang pasukan kebangsaan Mesir dan Liverpool, Mohamed Salah, telah menjalani ujian saingan kedua dan keputusannya mengesahkan bahawa Salah positif COVID-19," kata satu kenyataan yang dikeluarkan EFA.

"Salah mengekalkan semangat yang tinggi dan tidak menunjukkan sebarang gejala virus itu."

EFA turut mengesahkan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan pasukan perubatan Liverpool.

Salah berada dalam prestasi terbaik buat skuad The Reds itu musim ini dengan menjaringkan 10 gol dalam kesemua kejohanan dan mencipta lebih banyak peluang berbanding mana-mana pemain lain dalam EPL musim ini.

Perkhabaran terbaru itu menjadi satu lagi tamparan hebat buat pengurus, Jurgen Klopp, dalam waktu rehat antarabangsa kali ini selepas turut kehilangan khidmat pertahanan tengah, Joe Gomez, yang mengalami kecederaan lutut ketika mewakili England manakala Trent Alexander-Arnold pula mengalami kecederaan betis ketika terikat 1-1 dengan Manchester City dalam perlawanan terakhir pasukan juara bertahan itu.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen