Covid-19: Rashford simpan tiket United untuk wira NHS

Oleh Nafis Abdullah 16 April 2020 149
Covid-19: Rashford simpan tiket United untuk wira NHS
Penggempur Manchester United, Marcus Rashford, telah menyimpan dua tiket perlawanan untuk pekerja Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) sebagai tanda terima kasih terhadap usaha mereka ketika krisis coronavirus.

Pengguna Twitter, Josh Howes, menggunakan laman sosial itu mendoakan pemain England itu pulih daripada kecederaan belakang.

Hantaran itu menunjukkan Howes dan isterinya bekerja di hospital dan memakai kelengkapan perlindungan.

"Saya rindukan bola sepak! @MarcusRashford bagaimana dengan proses pemulihan?" katanya.

"Moga anda cepat sembuh. Tidak sabar untuk melihat anda beraksi semula!

"Saya dan isteri mahu mendapatkan tiket di Old Trafford dan kami boleh berhenti menyarung kelengkapan yang digunakan selama 13 jam sehari ini! #NHSCovidHeroes #NHSworkers."

Dan Rashford gembira untuk menyempurnakan hasrat mereka.

"Saya ada dua tiket yang disimpan untuk anda. Tidak sabar untuk meraikannya bersama wira dan bintang sebenar," ujar penyerang itu.

"Saya akan maklumkan apabila kami kembali berlatih. Terima kasih atas segalan usaha anda."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen