Liga Perdana dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) akan membincangkan gaji pemain sebagai sebahagian daripada persidangan mengenai bagaimana bola sepak di England harus bertindak balas terhadap wabak koronavirus baru (Covid-19).

Wakil daripada Liga Bolasepak Inggeris (EFL) dan Persatuan Pengurus Liga (LMA) turut terlibat dalam sidang kemuncak itu yang akan berlangsung selama dua hari lagi.

Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Newcastle United, Tottenham, Norwich City dan Bournemouth telah memberi cuti kepada kakitangan bukan pemain dengan mengambil kesempatan daripada skim Kerajaan United Kindom (UK) ekoran penularan pandemik itu dengan majikan hanya perlu membayar pekerja sebanyak 80 peratus daripada gaji mereka dengan had sehingga £2,500 (RM13,563) sebulan.

Barisan pengurus, kejurulatihan dan ahli lembaga pengarah Bournemouth dan Norwich bersetuju akan menambah jumlah gaji tersebut bagi memastikan kakitangan bukan pemain dapat menerima gaji penuh tetapi Tottenham pula yang mengambil langkah serupa, dikritik ekoran pakej gaji pengurus, Jose Mourinho, dan pemainnya tidak akan diusik.

Baki saingan musim 2019-20 dan keselamatan pemain juga menjadi agenda dalam mesyuarat itu kelak.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PFA berbunyi: "Perwakilan kanan daripada PFA, Liga Perdana, EFL dan LMA akan bertemu hari ini untuk berkongsi pandangan membina mengenai cabaran yang dihadapi oleh sukan ini akibat daripada pandemik Covid-19.

"Pertemuan ini mengulangi pendirian bahawa kesihatan dan kesejahteraan negara perlu menjadi keutamaan -- termasuk pemain, jurulatih, pengurus, kakitangan kelab dan penyokong -- dan semua individu dalam kancah ini sepatutnya hanya kembali apabila keadaan sudah selamat dan sesuai.

"Tiada keputusan yang dibuat hari ini dan perbincangan akan dilanjutkan dalam 48 jam lagi dengan memberi tumpuan kepada beberapa perkara yang berprofil tinggi, termasuk upah pemain dan baki saingan musim 2019-20."

Bola sepak profesional di England kini digantung sehingga sekurang-kurangnya 30 April depan sebelum Persatuan Bolasepak menetapkan tarikh akhirnya pada 1 Jun depan bagi sebarang keputusan muktamad.